Genesix Esport
I’m a gamer, always have been.

Terengganu FC: TFC Tubuhkan Pasukan Bola Sepak Maya FIFA & PES

0

Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd terus mengorak langkah mengumumkan kerjasama strategik bersama Esports Malaysia Terengganu (ESMT) untuk menubuhkan sebuah pasukan bola sepak maya Terengganu FC yang rasmi, ini menjadikan kelab bola sepak pertama di Malaysia yang menceburi bidang sukan elektronik atau esukan.

Bagi memastikan penubuhan pasukan bola sepak ‘virtual’ Terengganu FC tercapai, TFC Sdn Bhd kini menjalin kerjasama strategik dengan e-Sports Malaysia Terengganu (ESMT) yang bakal membantu kelab itu terutama dalam bidang pengurusan operasi berkaitan sukan itu.

Berbeza dengan kebanyakan pasukan esukan sebelum ini yang hanya memfokuskan kepada salah satu tajuk permainan bola sepak sama ada FIFA atau PES, Terengganu FC pula akan memfokuskan kepada kedua-dua tajuk permainan bola sepak popular itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menjelaskan, dengan pembabitan dalam esukan itu ianya bakal membuka peluang yang lebih besar kepada peminat dan penggiat sukan itu untuk menceburi bidang berkenaan kerana pasarannya cukup luas.

Katanya, dengan wujudnya esukan ini ianya menjadi platform terbaik dan relevan buat kelab untuk memasarkan jenama TFC bukan hanya dalam negara tapi hingga ke peringkat antarabangsa.

“Di samping itu, penubuhan pasukan virtual ini juga menjadi landasan terbaik bagi memastikan bidang sukan ini terus bertapak dan berkembang di negara selain mampu membentuk dasar penyelarasan dalam sukan itu sendiri dengan melatih para pemain kerana kerjaya ini menguntungkan.

“Lagipun sukan elektronik ini mendapat pengiktirafan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) yang boleh menjadi salah satu industri serta sumber ekonomi baharu kepada individu yang meminati permainan video.

“Pemain yang terpilih menyarung jersi pasukan TFC itu nanti berpeluang menyertai kejohanan anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Pro Evolution Soccer (PES) di peringkat kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden ESMT, Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani melihat kerjasama itu begitu positif lebih-lebih lagi ianya yang pertama diwujudkan di negara ini membabitkan pasukan bola sepak utama.

“Dengan kerjasama ini ESMT dan TFC Sdn Bhd berada di landasan terbaik bagi melahirkan atlet pelapis serta juara dalam sukan itu sekali gus mampu mengharumkan nama Terengganu di persada antarabangsa suatu hari nanti,” katanya.

sumber berita: HMetro

Tinggalkan pesanan

Alamat email anda tidak akan disiarkan.