Genesix Esport
I’m a gamer, always have been.

M4 MLBB World Championship: MALAYSIA DI MANA SILAPNYA?

Ulasan Prestasi Pasukan Malaysia

0

ULASAN PRESTASI PASUKAN MALAYSIA DI M4 MLBB WORLD CHAMPIONSHIP

Tamatlah sudah M4 MLBB World Championship yang yang telah diadakan pada 1 – 15 Januari 2023. M4 adalah acara tahunan Mobile Legends: Bang Bang yang diadakan di Indonesia (selaku tuan rumah), di mana pasukan dari berbagai negara bersaing untuk menjadi juara dunia. Pertandingan ini merupakan salah satu acara e-sukan terbesar di dunia, dengan hadiah yang besar (RM3.5 juta).

Wakil Filipina, Echo Esports telah menjadi juara untuk edisi kali ini dengan menumpaskan rakan senegara yang juga merupakan bekas juara bertahan, Blacklist International dengan markah sempurna 4-0. Sementara itu, wakil tuan rumah Indonesia, RRQ Roshi dan Onic Esports hanya mampu berpuas hati menduduki tempat ke 3 dan 4 setelah masing-masing tewas di lower bracket. Kami di Pihak Genesix mengucapkan tahniah kepada semua 16 pasukan yang bertanding.

Namun begitu, disebalik kegembiraan dan keseronokan melihat prestasi pasukan luar negara yang tahun demi tahun semakin meningkat naik prestasi, penyokong negara pula kesedihan dan kecewa melihat prestasi dua pasukan Malaysia di acara tahunan dunia pada kali ini.

Pada M4 World Championship 2022, dua pasukan daripada Malaysia iaitu Team Haq dan Team Todak yang diwakili oleh pemain-pemain yang berpengalaman dan berbakat. Walaubagaimanapun, Team Haq yang merupakan juara MPL Malaysia musim ke 10 dan Team Todak selaku naib juara MPL Malaysia musim ke 10 tidak dapat mencapai keputusan yang baik dalam pertandingan tersebut, menduduki kedudukan 9 hingga 12

M4 MLBB World Championship THQ Lineup
Gambar 1: Profil pemain pasukan Team Haq yang mewakili Malaysia
M4 MLBB World Championship Todak Lineup
Gambar 2: Profil pemain pasukan Todak yang mewakili Malaysia

PASUKAN MALAYSIA DI PERINGKAT KUMPULAN

Seperti mendapat hujan emas di negeri orang, pasukan Malaysia mengorak langkah kanan dengan kedua-dua pasukan memastikan slot upper bracket dimenangi oleh mereka dengan Team Todak mengutip 3 mata penuh (tempat pertama kumpulan) dan team Haq mengutip 2 mata (tempat kedua kumpulan). Rujuk gambar 3 untuk melihat keputusan penuh peringkat kumpulan.

Seperti memberi harapan kepada semua rakyat Malaysia, prestasi Team Todak sangat memberangsangkan apabila tidak pernah kalah di peringkat kumpulan serta memberi keputusan yang mengejut apabila menewaskan Juara MPL Indonesia, Onic Esport. Team Haq juga menunjukkan prestasi yang mengkagumkan apabila berjaya memenangi 2 kemenangan.

M4 MLBB World Championship Group Stage Result
Gambar 3: Keputusan peringkat kumpulan. Todak di kumpulan B menduduki tempat pertama
manakala team Haq di kumpulan D menduduki tempat kedua. Dua-dua pasukan Malaysia layak ke
upper bracket peringkat kalah mati.

PASUKAN MALAYSIA DI PERINGKAT UPPER BRACKET

“Todak, sang raja lautan diratah oleh sang Raja, RRQ Hoshi dengan skor Tiga berbalas kosong!” terlihat muka-muka pengulas yangberkata sambil kecewa. “Sang raja menunjukkan siapa yang raja”, komen seorang lagi pengulas.

Ya, seperti menelan pahit hempedu. Tiga berbalas kosong! Selepas menunjukkan aksi yang sangat memberangsangkan di peringkat kumpulan, Team Todak menunjukkan aksi yang kurang bernyawa di perlawanan pertama upper bracket. Ternyata corak permaianan dari RRQ HOSHI lebih kemas dan mengambil segala objektif dengan pantas mengakibatkan TODAK tidak mampu bersaing. Boleh dikatakan, RRQ HOSHI bermain secara ‘perfect play’ dan pasukan TODAK juga bermain dengan sehabis main.

Satu lagi pasukan Malaysia, Team Haq turut tewas dengan skor 2-3 dengan juara pada edisi kali ni Echo Esports. Pada peringkat permulaan, team haq seperti hilang arah apabila tewas pada dua perlawanan awal 0-2. Perlawanan pertama dikatakan agak seimbang namun perlawanan kedua kelihatan team Haq hilang arah apabila menggunakan draf yang agak pelik (memasukkan Eudora sebagai mid laner). Namun begitu, Team Haq bangkit pada perlawanan ketiga dan keempat bagi mengikat skor 2-2. Namun, tuah berpihak pada Echo Esports apabila memenangi perlawanan penentuan, dan akhirnya menang 2-3.

M4 MLBB World Championship THQ vs Echo Result
M4 MLBB World Championship Todak vs RRQ Result

PASUKAN MALAYSIA DI PERINGKAT LOWER BRACKET

Walaupun tewas, pasukan Malaysia mempunyai satu lagi nyawa di lower bracket. Namun begitu, skripnya masih sama seperti di upper bracket.

Bagi pasukan TODAK bermain di kejohanan dunia sebanyak empat kali namun tiada rezeki buat pasukan apabila mengalami kekalahan kepada pasukan THE VALLEY. Corak permainan TODAK tidak begitu agresif seperti kebiasaannya dan pemilihan hero mereka juga menjadi tanda tanya buat peminat mereka. Pemilihan pemain juga menjadi persoalan apabila MOON digugurkan dan digantikan dengan 4meyz selaku exp laner, dan Ciku mengambil alih bahagian midlaner.

Perlawanan pertama, pasukan THE VALLEY kelihatan lebih agresif pada perlawanan pertama dengan pengguna Fredrinn oleh MOBAZANE yang ternyata keras dan sukar ditumbangkan. Di perlawanan kedua juga, dengan tiada hero ‘marksman’ dilihat sedikit sebanyak menyukarkan pasukan TODAK untuk bangkit walaupun ada satu ketika Rival dengan penggunaan hero LING yang hampir memberikan kemenangan.

Perlawanan Team Haq menentang Incendio Supremacy, di mana pasukan Team Haq menangi perlawanan pertama namun pada perlawanan kedua pasukan dari Turki itu bangkit dari kekalahan. Di perlawanan penentuan, TEAM HAQ seakan mampu melakukan kejutan namun ternyata ianya sekadar menjadi mimpi igauan buat peminat tanah air.

M4 MLBB World Championship THQ vs INC Result
M4 MLBB World Championship Todak vs TV Result

PUNCA KEGAGALAN DAN CADANGAN PENAMBAHBAIKKAN

Di mana silapnya? Kurang persiapaan atau gugup menentang pasukan yang masih baru dalam dunia MLBB?

Punca kegagalan pasukan Malaysia dalam M4 World Championship 2022 mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor. Salah satu faktor utama mungkin adalah kurangnya latihan dan persediaan yang cukup. Mungkin sudah tiba masanya pemain-pemain Malaysia diberi pendedahan dengan scenario luar dari Malaysia. Pihak berwajib seperti Kementerian Belia dan Sukan dan Persatuan – Persatuan esukan yang berkaitan (peringkat negeri dan negara) perlu bekerjasama mengadakan Latihan dengan menjemput pakar-pakar Analisa e-sukan dari luar negara. Pemain-pemain juga boleh dihantar menjalani bootcamp di Indonesia atau Filipina yang mana semua sedia maklum, negara yang mendominasi MLBB.

Punca seterusnya, Pasukan Malaysia mungkin juga tidak mempunyai strategi yang cukup untuk mengatasi pasukan lawan yang lebih kuat dan berpengalaman. Tambahan pula, pasukan Todak dilihat masih mencuba-cuba formasi hero dan pemain yang ada. Sebagai contoh, Hayabusa diletakkan di goldlaner, marksmen di EXP laner, Ciku bermain sebagai midlaner (yang mana semua sedia maklum, Ciku merupakan antara pemain Marksmen terbaik).

Adakah ini kesilapan pengurus dan penanalisa pasukan yang membuat draf sebegitu? Tidak mahu menunding jari kepada sesiapa, diharapkan setiap pasukan dapat diurus dengan baik selepas ini. Lantik penganalisa permainan yang bertauliah atau hantar sekumpulan penganalisa untuk menuntut atau belajar cara menganalisa dengan baik dengan pakar di luar. Gunakan nombor-nombor yang ada di setiap permainan yang ada bagi mencari mekanisme dan strategi yang baik untuk setiap perlawanan yang akan ditandingkan. Mungkin pihak KBS dan KPT boleh bekerjasama untuk memberi geran kepada university untuk membuat penyelidikan berkaitan Analisa permainan ini.

Selain itu, pasukan Malaysia mungkin juga mengalami masalah dalaman, seperti masalah komunikasi atau masalah peribadi yang mempengaruhi prestasi mereka dalam pertandingan. Ini dapat dilihat selepas perlawanan upper bracket Todak. Dan akhirnya, Moon digugurkan daripada pasukan.

Walau bagaimanapun, ini hanyalah spekulasi dan tidak ada konfirmasi rasmi dari pasukan atau pihak terbabit mengenai punca kegagalan pasukan Malaysia dalam M4 MLBB World Championship 2022. Namun, ini adalah pengajaran yang baik bagi pasukan Malaysia untuk meningkatkan latihan dan persediaan mereka untuk pertandingan-pertandingan akan datang, serta bekerja untuk mengatasi masalah dalaman yang mungkin timbul.

Baca juga Roadmap Mobile Legends Tounament bagi tahun 2023

RUMUSAN

Kedua-dua pasukan Malaysia dilihat mempunyai masalah yang sama dari segi pemilihan wira dan mekanik apabila bersaing dengan pasukan dari negara lain; persoalannya ialah apa yang berlaku kepada mereka. Adakah pasukan Malaysia sekadar juara kampung? Atau, pasukan negara kekurangan bakat segar yang diperlukan untuk bersaing dengan pasukan dari negara lain

Mungkinkah ini penamat untuk pemain berpengalaman seperti CIKUGAIS dan MOON yang semua sudah tahu mereka mempunyai lebih pengalaman berbanding pemain lain di peringkat antarabangsa?

Walau bagaimanapun, kita mesti memberi pujian di mana penghargaan diberikan kepada pasukan Malaysia kerana mereka berjuang keras untuk negara mereka, walaupun keputusannya tidak seperti yang kita harapkan. Ayuh bangkit buat pasukan TEAM HAQ dan TODAK, jadikan kekalahan ini sebagai pembakar semangat untuk lebih maju di masa akan datang.

Gambar-gambar adalah dari carian Google dan facebook Team Haq dan Todak. Jika terdapat penyalah gunaan gambar, Sila hubungi kami untuk pengeluaran gambar.
Tinggalkan pesanan

Alamat email anda tidak akan disiarkan.